November 4, 2009

Jom Tangani Stres...Amalkan 10 B








Info Terkini

Dalam tempoh seminggu yang lepas (18 – 24 Oktober 2009) seramai 838 pesakit baru dengan gejala Influenza-Like Illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sementara itu 884 kes telah discaj. Sehingga 24 Oktober 2009 (hari terakhir minggu epid 42/2009), jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 465 kes di 62 buah hospital termasuk 4 hospital swasta. Daripada jumlah kes ILI yang masih dirawat iu, hanya 15 pesakit atau 3% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

Dalam tempoh yang sama juga, seramai 6 pesakit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala itu, 4 pesakit telah discaj dari Unit Rawatan Rapi. Sehingga 24 Oktober 2009, 7 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 4 dari 7 kes mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (3) dan morbid obesiti (1) .

Tiada kematian akibat Influenza A(H1N1) yang didaftarkan di Malaysia sepanjang minggu lepas dan jumlah kematian masih kekal 77 orang.

Terdapat 4 kejadian kluster influenza-like illness telah dilaporkan dalam tempoh seminggu yang lepas yang berlaku di Kampong Cherok, Pos Belatim, Gua Musang, SRJK(C) Sungai Lembing, Kuantan, Kolej Inforana, Marang dan SMK Datuk Abdul Rahman Yaakob, Jasin. Walau bagaimanapun, keputusan makmal menunjukkan tiga daripada empat kejadian kluster influenza-like illness tersebut bukan akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Manakala 1 kes dari Kolej Inforana, Marang adalah positif influenza A(H1N1) dan kes ini telah dimasukkan ke hospital dan diberikan rawatan antiviral.

Sementara itu, survelan kejadian influenza-like illness yang dijalankan di klinik-klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Manakala itu, hanya 6% daripada 1,015 sampel klinikal diterima oleh makmal yang menjalankan ujian pengesahan adalah positif terhadap influenza A(H1N1). Ini menunjukkan trend jangkitan Influenza A(H1N1) telah menurun berbanding dengan minggu sebelumnya, walau bagaimanapun jangkitan masih lagi aktif di dalam komuniti.

Di peringkat global, sehingga 18 Oktober 2009, sejumlah 414,945 kes yang disahkan H1N1 telah dilaporkan di seluruh dunia dengan 4,999 kematian. Pihak WHO melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) masih lagi aktif terutama di negara-negara di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada, Eropah Barat dan Asia Timur di mana negara-negara ini terus menunjukkan tren peningkatan kadar ILI sejak 4 minggu yang lepas. Sementara di negara-negara zon tropika pula, penularan virus ini masih kekal dengan kadar jangkitan yang berbeza-beza mengikut negara. Manakala negara-negara di Hemisfera Selatan seperti Australia, New Zealand dan negara-negara di Asia Selatan menunjukkan tren penurunan yang ketara.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin merujuk kepada tindakan Kerajaan Amerika Syarikat yang telah mengisytiharkan kejadian influenza A(H1N1) di Amerika Syarikat sebagai satu situasi kecemasan peringkat kebangsaan (national emergency) pada 24 Oktober 2009. Pengisytiharan ini tidak bermaksud situasi semasa pandemik influenza A(H1N1) secara keseluruhannya semakin teruk dan tidak terkawal, tetapi lebih kepada langkah pentadbiran untuk mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian rawatan kepada rakyatnya. Buat masa ini, tahap amaran pandemik masih lagi di Fasa 6.

Sempena musim menunaikan ibadah haji, ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam sedang membuat persiapan untuk berangkat ke Tanah Suci. Sebagai langkah pencegahan, semua bakal-bakal jemaah haji diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin influenza bermusim (northern hemisphere formulation) di samping vaksin meningococcal yang sah selewat-lewatnya 2 minggu sebelum mendapatkan visa sebagai mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi. Suntikan vaksin influenza bermusim boleh didapati di klinik-klinik swasta. Bakal-bakal jemaah haji juga diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri ketika berada di tanah suci terutama bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan influenza. Jemaah haji juga dinasihatkan agar mematuhi segala nasihat dan panduan yang diberikan oleh petugas kesihatan selama berada di Tanah Suci.

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) walaupun kebelakangan ini tren menunjukkan penurunan. Ingin ditegaskan bahawa penularan penyakit influenza A(H1N1) dalam komuniti masih lagi aktif dan orang ramai digesa agar terus mematuhi nasihat-nasihat berikut bagi membendung wabak ini. Antara langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah:

  1. Individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan tetapi mengalami gejala influenza-Like Illness (ILI) boleh berehat di rumah sehingga bebas daripada simptom ILI dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih teruk.

  2. Individu yang berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan awal walaupun mengalami gejala ILI yang ringan.

  3. Apabila batuk atau bersin, hendaklah menutup mulut dan hidung dan jika menggunakan tisu hendaklah membuang tisu yang telah digunakan itu ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bahan cuci berasaskan alkohol.

  4. Amalkan cara hidup sihat, khususnya makan secara sihat, tidak merokok, melakukan aktiviti fizikal dan meminum air secukupnya setiap hari.

  5. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi dan isu-isu semasa H1N1 dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun kenyataan akhbar hanya dikeluarkan seminggu sekali iaitu setiap hari Rabu dan perkhidmatan hotline di talian 03-88810200 atau 03-88810300 beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang sahaja, sebarang pertanyaan mengenai H1N1 masih boleh diemelkan kepada KKM menerusi emel di cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan Influenza H1N1 boleh memperolehinya melalui laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Oktober 2009