Showing posts with label INFO KESIHATAN. Show all posts
Showing posts with label INFO KESIHATAN. Show all posts

November 4, 2009

Jom Tangani Stres...Amalkan 10 B








Info Terkini

Dalam tempoh seminggu yang lepas (18 – 24 Oktober 2009) seramai 838 pesakit baru dengan gejala Influenza-Like Illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sementara itu 884 kes telah discaj. Sehingga 24 Oktober 2009 (hari terakhir minggu epid 42/2009), jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 465 kes di 62 buah hospital termasuk 4 hospital swasta. Daripada jumlah kes ILI yang masih dirawat iu, hanya 15 pesakit atau 3% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

Dalam tempoh yang sama juga, seramai 6 pesakit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala itu, 4 pesakit telah discaj dari Unit Rawatan Rapi. Sehingga 24 Oktober 2009, 7 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 4 dari 7 kes mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (3) dan morbid obesiti (1) .

Tiada kematian akibat Influenza A(H1N1) yang didaftarkan di Malaysia sepanjang minggu lepas dan jumlah kematian masih kekal 77 orang.

Terdapat 4 kejadian kluster influenza-like illness telah dilaporkan dalam tempoh seminggu yang lepas yang berlaku di Kampong Cherok, Pos Belatim, Gua Musang, SRJK(C) Sungai Lembing, Kuantan, Kolej Inforana, Marang dan SMK Datuk Abdul Rahman Yaakob, Jasin. Walau bagaimanapun, keputusan makmal menunjukkan tiga daripada empat kejadian kluster influenza-like illness tersebut bukan akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Manakala 1 kes dari Kolej Inforana, Marang adalah positif influenza A(H1N1) dan kes ini telah dimasukkan ke hospital dan diberikan rawatan antiviral.

Sementara itu, survelan kejadian influenza-like illness yang dijalankan di klinik-klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Manakala itu, hanya 6% daripada 1,015 sampel klinikal diterima oleh makmal yang menjalankan ujian pengesahan adalah positif terhadap influenza A(H1N1). Ini menunjukkan trend jangkitan Influenza A(H1N1) telah menurun berbanding dengan minggu sebelumnya, walau bagaimanapun jangkitan masih lagi aktif di dalam komuniti.

Di peringkat global, sehingga 18 Oktober 2009, sejumlah 414,945 kes yang disahkan H1N1 telah dilaporkan di seluruh dunia dengan 4,999 kematian. Pihak WHO melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) masih lagi aktif terutama di negara-negara di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada, Eropah Barat dan Asia Timur di mana negara-negara ini terus menunjukkan tren peningkatan kadar ILI sejak 4 minggu yang lepas. Sementara di negara-negara zon tropika pula, penularan virus ini masih kekal dengan kadar jangkitan yang berbeza-beza mengikut negara. Manakala negara-negara di Hemisfera Selatan seperti Australia, New Zealand dan negara-negara di Asia Selatan menunjukkan tren penurunan yang ketara.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin merujuk kepada tindakan Kerajaan Amerika Syarikat yang telah mengisytiharkan kejadian influenza A(H1N1) di Amerika Syarikat sebagai satu situasi kecemasan peringkat kebangsaan (national emergency) pada 24 Oktober 2009. Pengisytiharan ini tidak bermaksud situasi semasa pandemik influenza A(H1N1) secara keseluruhannya semakin teruk dan tidak terkawal, tetapi lebih kepada langkah pentadbiran untuk mempercepatkan dan mempermudahkan pemberian rawatan kepada rakyatnya. Buat masa ini, tahap amaran pandemik masih lagi di Fasa 6.

Sempena musim menunaikan ibadah haji, ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam sedang membuat persiapan untuk berangkat ke Tanah Suci. Sebagai langkah pencegahan, semua bakal-bakal jemaah haji diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin influenza bermusim (northern hemisphere formulation) di samping vaksin meningococcal yang sah selewat-lewatnya 2 minggu sebelum mendapatkan visa sebagai mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi. Suntikan vaksin influenza bermusim boleh didapati di klinik-klinik swasta. Bakal-bakal jemaah haji juga diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri ketika berada di tanah suci terutama bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan influenza. Jemaah haji juga dinasihatkan agar mematuhi segala nasihat dan panduan yang diberikan oleh petugas kesihatan selama berada di Tanah Suci.

Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) walaupun kebelakangan ini tren menunjukkan penurunan. Ingin ditegaskan bahawa penularan penyakit influenza A(H1N1) dalam komuniti masih lagi aktif dan orang ramai digesa agar terus mematuhi nasihat-nasihat berikut bagi membendung wabak ini. Antara langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah:

  1. Individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan tetapi mengalami gejala influenza-Like Illness (ILI) boleh berehat di rumah sehingga bebas daripada simptom ILI dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih teruk.

  2. Individu yang berisiko tinggi perlu segera mendapatkan rawatan awal walaupun mengalami gejala ILI yang ringan.

  3. Apabila batuk atau bersin, hendaklah menutup mulut dan hidung dan jika menggunakan tisu hendaklah membuang tisu yang telah digunakan itu ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bahan cuci berasaskan alkohol.

  4. Amalkan cara hidup sihat, khususnya makan secara sihat, tidak merokok, melakukan aktiviti fizikal dan meminum air secukupnya setiap hari.

  5. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi dan isu-isu semasa H1N1 dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun kenyataan akhbar hanya dikeluarkan seminggu sekali iaitu setiap hari Rabu dan perkhidmatan hotline di talian 03-88810200 atau 03-88810300 beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang sahaja, sebarang pertanyaan mengenai H1N1 masih boleh diemelkan kepada KKM menerusi emel di cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan Influenza H1N1 boleh memperolehinya melalui laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Oktober 2009

May 6, 2009

INFLUENZA A(H1N1)






















Soalan-soalan Lazim


1. Apakah Influenza A(H1N1)?
Influenza A(H1N1) adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit di kalangan babi dan disebabkan
oleh virus influenza A.
Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung
atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai
sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus Influenza A(H1N1)).

2. Berapakah subtypes (jenis) Virus Influenza A(H1N1) yang wujud?
Virus Influenza A(H1N1) sentiasa berubah seperti virus influenza yang lain. Terdapat 4 subtypes
utama virus influenza A iaitu H1N1 (virus yang biasa ditemui pada babi), H1N2, H3N1 dan H3N2.
Babi boleh dijangkiti virus Avian Influenza (Selesema Burung), virus influenza bermusim manusia,
serta virus Swine Influenza (Influenza A(H1N1)). Babi boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis virus
pada satu masa. Ini menyebabkan gen virus tersebut bercampur dan menghasilkan virus influenza
yang mengandungi gen daripada pelbagai sumber, dikenali sebagai virus yang bercampur
(reassortant).
Walaupun virus Influenza A(H1N1) pada kebiasaannya adalah spesis yang spesifik dan hanya
menjangkiti babi, namun virus ini boleh menjangkiti manusia. Virus influenza yang dijumpai pada
babi pada masa kini adalah virus H1N1.

3. Di manakah kes jangkitan terhadap manusia pernah terjadi?
Sejak pelaksanaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) pada 2007, Pertubuhan Kesihatan
Sedunia telah melaporkan kes Influenza A(H1N1) dari Amerika Syarikat dan Sepanyol. Pada masa
ini negara-negara yang terjejas dengan kes Influenza A(H1N1) adalah Mexico, Amerika Syarikat dan
Kanada. Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang terjejas, sila rujuk laman web
www.moh.gov.my

4. Apakah tanda dan gejala Influenza A(H1N1) pada manusia?
Tanda dan gejala Influenza A(H1N1) pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema
manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa
sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah.

5. Adakah babi dan produknya selamat untuk dimakan?
Ya. Tiada bukti mengaitkan Influenza A(H1N1) boleh dipindahkan melalui makanan sekiranya
daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul. Virus Influenza A(H1N1) boleh
dihapuskan dengan suhu masakan 160°F/70°C, sejajar dengan panduan am bagi menyediakan
daging babi dan daging lain.

6. Bagaimana manusia boleh dijangkiti?
Manusia selalunya dijangkiti Influenza A(H1N1) melalui hubungan langsung dengan babi atau
persekitaran yang dijangkiti virus Influenza A(H1N1). Terdapat kes di mana manusia yang dijangkiti
tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya.
Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan rapat di
kalangan manusia dan di dalam kumpulan-kumpulan kecil.

7. Adakah terdapat vaksin bagi melindungi manusia daripada jangkitan
Influenza A(H1N1)?
Tidak ada. Vaksin influenza bermusim yang dihasilkan mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan
Sedunia tidak mengandungi virus Influenza A(H1N1). Tidak juga diketahui sama ada vaksin
bermusim boleh mencegah jangkitan virus Influenza A(H1N1) yang berlaku sekarang.

8. Apakah rawatan bagi Influenza A(H1N1)?
Kebanyakan kes Influenza A(H1N1) yang dilaporkan sebelum ini pulih sepenuhnya daripada
penyakit itu tanpa memerlukan rawatan dan antiviral.

9. Berapakah tempoh masa jangkitan Influenza A(H1N1) daripada manusia kepada
manusia yang lain?
Mereka yang dijangkiti virus Influenza A(H1N1) boleh menyebarkan penyakit ini selagi mereka
mempunyai gejala penyakit dan boleh berlanjutan selama 7 hari daripada tarikh mendapat jangkitan
(onset).
Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, berpotensi menyebarkan penyakit ini pada tempoh
yang lebih panjang.

10. Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi diri anda daripada sakit?
Elakkan penyebaran kuman selesema dengan mengambil langkah-langkah berikut:
Jika anda batuk atau bersin:
o Tutup hidung dan mulut anda dengan tisu atau sapu tangan
o Buang tisu yang telah digunakan di bakul sampah
o Basuh tangan dengan sabun dan air bersih
Amalkan kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air,
terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkohol juga boleh
digunakan.
Elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.
Jika anda sakit kerana selesema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan
orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka. Elakkan daripada
menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
Segera dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda
mengalami tanda dan gejala penyakit ini setelah pulang dari negara atau kawasan
yang dijangkiti Selesema Babi.

April 27, 2009

..TERKINII...

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR

Situasi Swine Flu di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat dan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Sehingga 26 April 2009, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 26 April 2009 berkaitan kejadian `influenza-like illness, terdapat 20 kes yang disahkan di Amerika Syarikat iaitu 8 di New York, 7 California, 2 Texas, 2 Kansas dan 1 di Ohio. Tiada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat. Sementara itu di Mexico jumlah kes yang dilaporkan adalah 1,149 dengan 71 kematian dan 18 kes adalah disahkan disebabkan oleh swine influenza A/H1N1. Negara Kanada melaporkan 4 kes yang disahkan swine influenza A/H1N1 dan tiada kematian. Menurut laporan daripada WHO, kecuali di Mexico, kebanyakan kes yang dilaporkan mengidap tanda-tanda ringan jangkitan `influenza-like illness . Tiada kes dilaporkan di lain-lain negara.
Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang berkaitan dengan `influenza-like illness dilaporkan. Seperti yang dimaklumkan pada 26 April 2009, Kementerian Kesihatan telah pun mengambil tindakan-tindakan persediaan yang seperti berikut;
a)
Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak swine-flu dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
b)
Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.
c)
Saringan tanda-tanda jangkitan swine-flu di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.
d)
Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak swine-flu untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak swine-flu ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat. Maklumat di laman web Kementerian (www.moh.gov.my) akan sediakan mulai hari ini.
Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa orang awam
tidak perlu risau dengan situasi yang berlaku di negara Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat kerana pihak berkuasa di negara berkenaan bersama dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak ini daripada menular keluar negara. Negara kita juga telah mempunyai pelan strategi untuk menghadapi kemungkinan penularan wabak influenza (National Influenza Pandemic Preparedness Plan)
Tindakan kolaborasi dan kerjasama perkongsian maklumat dan langkah-langkah pencegahan serta kawalan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan orang awam akan dimaklumkan situasi ini dari masa ke semasa dan diminta mematuhi nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kerajaan.
Sehingga kini, pihak WHO memaklumkan bahawa
TIADA sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa susulan daripada kejadian ini.
Sekian dan terima kasih.


DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia
Tarikh: 27 April 2009

April 21, 2009

INFO KESIHATAN

Penyakit Thyroid
Bengkak di leher tanda sakit tiroid

http://www.biovco.com

JIKA menghadap cermin, jangan lupa untuk melihat bahagian pangkal leher anda dan luangkan sedikit masa menyentuh bahagian berkenaan bagi mengesan sebarang perubahan.

Jika ada kesan bengkak walaupun tidak berasa sakit, seelok-eloknya segera berjumpa doktor kerana berkemungkinan anda berdepan masalah kelenjar tiroid atau biasa dipanggil penyakit tiroid.

Seperti dipaparkan dalam rancangan Medik TV, statistik menunjukkan wanita lebih berisiko menghidap penyakit berkenaan dengan nisbah tujuh kali lebih kerap berbanding lelaki.

Bagaimanapun, jika sudah dinamakan penyakit, ia pada dasarnya tidak mengenal jantina mahupun usia dan seharusnya setiap manusia perlu lebih serius dalam soal penjagaan kesihatan mereka.

Bagi Liew She Lem, 53, walaupun tidak berasa sakit, kesan bengkak yang dilihat pada bahagian pangkal leher sebelah kiri mendorongnya melakukan pemeriksaan doktor.

Hasil pemeriksaan x-ray dan ultrasound, kelenjar tiroid sebelah kiri bapa tiga anak itu dikesan bengkak dengan saiz kira-kira tiga sentimeter (sm).

Akur dengan nasihat doktor yang menasihatinya menjalani pembedahan, dia memilih menjalani pembedahan di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Pakar Bedah Am hospital terbabit, Dr S Shanmugam, berkata pembengkakan yang berlaku pada bahagian kelenjar tiroid memerlukan rawatan segera.

Katanya, walaupun kelenjar berkenaan kecil, ia memainkan fungsi penting dalam mengawal metabolisme badan kerana ia menghasilkan hormon dikenali sebagai tiroksin yang aktif dalam kebanyakan fungsi organ, termasuk membantu sel menukarkan oksigen dan kalori kepada tenaga.

"Jika kelenjar tiroid tidak berfungsi dengan baik, ia akan menjejaskan fungsi kebanyakan anggota badan.

"Kalau tak dirawat, dia (pesakit) akan jadi kurus dan fikiran akan terganggu. Kadangkala timbul perasaan takut, walaupun ketika terdengar bunyi yang perlahan dan jika dibiarkan boleh membawa maut," katanya sambil memberitahu, ada lebih kurang 22 jenis penyakit tiroid.

Dr Shanmugam berkata, pembengkakan pada kelenjar tiroid Liew masih di peringkat awal memandangkan dia (Liew) tidak mengalami sebarang simptom menunjukkan masalah yang berlaku sudah di peringkat serius.

Bagaimanapun, katanya, jika dibiarkan, kelenjar tiroid mungkin menjadi lebih besar sehingga menyebabkan bentuk fizikal tidak normal.

Pembedahan Liew dilakukan sepasukan pakar bedah diketuai Dr Shanmugam. Dimulakan dengan pemberian bius dan bantuan oksigen sebelum pernafasan Liew diambil alih oleh mesin, pakar bedah kemudian membersihkan bahagian yang hendak dibedah menggunakan iodin bagi menghapuskan sebanyak mungkin kuman, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

`Adrenaline' kemudian disuntik di pangkal leher Liew bertujuan mengecutkan saluran darah. Langkah ini mampu mengurangkan pendarahan pada bahagian berkenaan dan memudahkan doktor melakukan pembedahan.

Prosedur pembedahan diteruskan dengan lapisan kulit dan otot pada bahagian terbabit dipotong sedikit demi sedikit dengan berhati-hati kerana bahagian ini cukup sensitif berikutan ada banyak salur darah dan urat penting.

Otot daripada bawah kulit kemudian diasingkan sehingga mencapai bahagian halkum dan seterusnya urat yang menyambungkan kedua-dua kelenjar tiroid dipotong sebelum prosedur pembuangan bahagian yang bengkak dilakukan.

Bahagian yang bengkak itu dikenali sebagai `nodul', iaitu merujuk kepada ketumbuhan tisu tiroid, sama ada keras atau mengandungi cecair.

Sebelum pemotongan `nodul' dilakukan, kelenjar tiroid sebelah kiri dikeluarkan dan salur darah di sekitar kawasan bedah diikat bagi mengelak pendarahan dan pada masa sama bahagian yang hendak dipotong ditandakan supaya pemotongan mudah dilakukan tanpa menjejaskan bahagian berdekatan.

Selepas nodul dipotong, Dr Shanmugam turut memeriksa kelenjar tiroid sebelah kanan dan usaha berkenaan membawa kepada penemuan satu `nodul' kecil yang kemudian turut dipotong dan dibuang.

Dr Shanmugam berkata, dengan pembuangan nodul berkenaan, tiada lagi kemungkinan berlaku semula pembengkakan kelenjar tiroid.

Untuk prosedur akhir pembedahan, sebelum menutup bahagian dibedah, salur sementara yang disambungkan pada sejenis botol vakum berfungsi menyedut darah dan cecair badan diletakkan.

Ia bertujuan mengelak darah dan cecair badan daripada berkumpul sehingga membawa kepada masalah bengkak pada bahagian dibedah.

Spesimen yang dipotong diletakkan di dalam cecair formalin bagi mengeraskannya, sekali gus memudahkan pakar mengujinya di makmal.

Dr Shanmugam berkata, keputusan ujian kebiasaannya akan diperoleh dalam tempoh lima hari dan pesakit akan diberitahu keputusan berkenaan dalam tempoh seminggu.

Selain Liew, Siti Faiza Mohd Razali, 24, turut berdepan penyakit sama, namun dia belum menjalani pembedahan berikutan masih ada tempoh kira-kira sebulan untuk berbuat demikian.

Siti Faiza berkata, dia hanya menyedari mempunyai kesan bengkak di bahagian pangkal leher kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, ibunya turut mengalami penyakit sama, menyebabkan dia segera bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Apa diperkatakan Siti Faiza menepati faktor yang menyumbang kepada penyakit berkenaan. Ini kerana, berdasarkan kajian, meskipun punca sebenar belum ditemui, faktor keturunan dikenal pasti antara penyebab penyakit berkenaan.

Selain itu, risiko pembengkakan kelenjar tiroid berlaku seiring dengan pertambahan usia, manakala sesiapa yang pernah mengalami radang tiroid yang kronik turut berisiko menghidap penyakit berkenaan.