April 29, 2009

PENGUMUMAN..terkini

29 April 2009

Situasi Semasa Wabak Swine Flu dan tindakan yang diambil oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia
Sehingga 28 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
menyatakan situasi wabak Swine Influenza A/H1N1 terus merebak
dengan cepat. Tujuh negara telah melaporkan kejadian wabak Swine
Influenza A/H1N1dimana Amerika Syarikat melaporkan 64 kes yang
disahkan melalui ujian makmal, tiada kematian. Mexico pula
melaporkan 26 kes positif ujian makmal Swine Influenza
A/H1N1termasuk 7 kematian. Negara-negara lain yang melaporkan
kes positif ujian makmal Swine Influenza A/H1N1 ialah Kanada (6
kes), New Zealand (3 kes), UK (2 kes), Israel (2 kes) dan Sepanyol
(2 kes), tiada kematian dilaporkan di negara-negara berkenaan.
WHO telah menaikkan amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 3
kepada Fasa 4 semenjak 27 April 2009 dimana telah terdapat
penyebaran yang berterusan dari manusia ke manusia. Peningkatan
Fasa ini menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya Pandemik,
tetapi ini tidak bermakna pandemik tidak dapat dibendung. WHO juga
melaporkan Fasa ini boleh turun ke Fasa 3 atau meningkatkan ke
Fasa yang lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat
terkini.

Fasa 4 ini bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia
dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti. Walau
bagaimanapun, WHO menyarankan TIADA sebarang tindakan
sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu
dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan
antarabangsa.

Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria
penyakit Swine Influenza. Berdasarkan survelan `influenza-like
illness’, tiada peningkatan kes dan kes berkelompok (cluster) yang
dilaporkan. Beberapa langkah telah diambil oleh Kementerian
Kesihatan bermula pada 26 April 2009 seperti berikut:
a) Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia
dan Jabatan Kesihatan Negeri telah mengaktifkan Bilik
Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Swine Flu
dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan
proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk
Malaysia.

b) Mengeluarkan surat waspada ‘Alert Letter’ kepada semua
peringkat kemudahan kesihatan termasuk kemudahan
kesihatan swasta dan kerajaan agar meningkatkan
pemantauan ‘influenza-like illness’.
c) Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan nasihat
perjalanan (Travel Advisory) kepada rakyat Malaysia agar
menangguh atau tidak melakukan lawatan antarabangsa
keluar negara terutamanya ke negara yang sedang dilanda
wabak sekiranya tidak perlu dan sekiranya keadaan kesihatan
tidak mengizinkan.

d) Menjalankan saringan kesihatan di pintu masuk KLIA dan
semua pintu masuk antarabangsa bermula pada pada 27 April
2009. Penumpang dan anak kapal syarikat penerbangan dari
negara/kawasan yang dilanda wabak Swine Flu disaring dan
diberi Health Alert Card dan Health Declaration Form.
e) Memberikan nasihat kesihatan kepada orang awam melalui
talian hotline di peringkat Kementerian 03–88810200 atau 03–
88810300 dan melalui hebahan TV dan Radio. Maklumat
berkaitan wabak Swine Flu dikemaskini secara harian dan
boleh dicapai di laman sesawang (web) Kementerian
Kesihatan di www.moh.gov.my

f) Memaklumkan kepada semua hospital rujukan (designated
hospital) di seluruh negara terutama Hospital Sg. Buloh dan
Hospital Klang agar bersiap sedia menerima kemasukan kes
disyaki Swine Influenza. Persediaan dari segi wad isolasi,
kawalan infeksi dan simpanan stok antiviral telah diberi
penekanan.

g) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah dimaklumkan
agar bersiap sedia menerima spesimen daripada kes yang
disyaki Swine Influenza.

h) Kesemua sembilan pusat simpanan stok antiviral di seluruh
negara diminta untuk bersiap sedia bagi memastikan proses
penghantaran antiviral berjalan lancar sekiranya diperlukan.

i) Menyediakan bahan pendidikan kesihatan berkaitan Swine Flu
seperti risalah, FAQs untuk diedarkan kepada orang awam.
j) Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi
wabak Swine Flu untuk maklumat orang awam di Malaysia
dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh
Kerajaan.

k) Mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang
melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan pada 29 April 2009
bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai langkah
pencegahan dan kawalan yang lebih bersepadu.
WHO telah menyarankan beberapa tindakan yang perlu diambil
perhatian iaitu:
a. Orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan
terutamanya demam, batuk, selsema dan sakit tekak
dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan
antarabangsa
b. Orang awam yang mengalami tanda-tanda berkenaan
semasa melakukan lawatan antarabangsa dinasihatkan
untuk mendapat rawatan
c. Tiada risiko mendapat jangkitan Swine Influenza
sekiranya daging atau produk babi disediakan atau
dimasak secara betul.
d. Amalkan kebersihan diri termasuk membasuh tangan
dengan kerap menggunakan sabun dan air,
terutamanya selepas batuk
e. Sekiranya mengalami gejala ‘influenza-like illness’, sila
dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Sekian dan terima kasih.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia
Tarikh: 29 April 2009

April 27, 2009

..TERKINII...

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR

Situasi Swine Flu di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat dan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Sehingga 26 April 2009, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 26 April 2009 berkaitan kejadian `influenza-like illness, terdapat 20 kes yang disahkan di Amerika Syarikat iaitu 8 di New York, 7 California, 2 Texas, 2 Kansas dan 1 di Ohio. Tiada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat. Sementara itu di Mexico jumlah kes yang dilaporkan adalah 1,149 dengan 71 kematian dan 18 kes adalah disahkan disebabkan oleh swine influenza A/H1N1. Negara Kanada melaporkan 4 kes yang disahkan swine influenza A/H1N1 dan tiada kematian. Menurut laporan daripada WHO, kecuali di Mexico, kebanyakan kes yang dilaporkan mengidap tanda-tanda ringan jangkitan `influenza-like illness . Tiada kes dilaporkan di lain-lain negara.
Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang berkaitan dengan `influenza-like illness dilaporkan. Seperti yang dimaklumkan pada 26 April 2009, Kementerian Kesihatan telah pun mengambil tindakan-tindakan persediaan yang seperti berikut;
a)
Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak swine-flu dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.
b)
Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.
c)
Saringan tanda-tanda jangkitan swine-flu di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.
d)
Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak swine-flu untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak swine-flu ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat. Maklumat di laman web Kementerian (www.moh.gov.my) akan sediakan mulai hari ini.
Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa orang awam
tidak perlu risau dengan situasi yang berlaku di negara Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat kerana pihak berkuasa di negara berkenaan bersama dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak ini daripada menular keluar negara. Negara kita juga telah mempunyai pelan strategi untuk menghadapi kemungkinan penularan wabak influenza (National Influenza Pandemic Preparedness Plan)
Tindakan kolaborasi dan kerjasama perkongsian maklumat dan langkah-langkah pencegahan serta kawalan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan orang awam akan dimaklumkan situasi ini dari masa ke semasa dan diminta mematuhi nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kerajaan.
Sehingga kini, pihak WHO memaklumkan bahawa
TIADA sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa susulan daripada kejadian ini.
Sekian dan terima kasih.


DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia
Tarikh: 27 April 2009

April 21, 2009

INFO KESIHATAN

Penyakit Thyroid
Bengkak di leher tanda sakit tiroid

http://www.biovco.com

JIKA menghadap cermin, jangan lupa untuk melihat bahagian pangkal leher anda dan luangkan sedikit masa menyentuh bahagian berkenaan bagi mengesan sebarang perubahan.

Jika ada kesan bengkak walaupun tidak berasa sakit, seelok-eloknya segera berjumpa doktor kerana berkemungkinan anda berdepan masalah kelenjar tiroid atau biasa dipanggil penyakit tiroid.

Seperti dipaparkan dalam rancangan Medik TV, statistik menunjukkan wanita lebih berisiko menghidap penyakit berkenaan dengan nisbah tujuh kali lebih kerap berbanding lelaki.

Bagaimanapun, jika sudah dinamakan penyakit, ia pada dasarnya tidak mengenal jantina mahupun usia dan seharusnya setiap manusia perlu lebih serius dalam soal penjagaan kesihatan mereka.

Bagi Liew She Lem, 53, walaupun tidak berasa sakit, kesan bengkak yang dilihat pada bahagian pangkal leher sebelah kiri mendorongnya melakukan pemeriksaan doktor.

Hasil pemeriksaan x-ray dan ultrasound, kelenjar tiroid sebelah kiri bapa tiga anak itu dikesan bengkak dengan saiz kira-kira tiga sentimeter (sm).

Akur dengan nasihat doktor yang menasihatinya menjalani pembedahan, dia memilih menjalani pembedahan di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Pakar Bedah Am hospital terbabit, Dr S Shanmugam, berkata pembengkakan yang berlaku pada bahagian kelenjar tiroid memerlukan rawatan segera.

Katanya, walaupun kelenjar berkenaan kecil, ia memainkan fungsi penting dalam mengawal metabolisme badan kerana ia menghasilkan hormon dikenali sebagai tiroksin yang aktif dalam kebanyakan fungsi organ, termasuk membantu sel menukarkan oksigen dan kalori kepada tenaga.

"Jika kelenjar tiroid tidak berfungsi dengan baik, ia akan menjejaskan fungsi kebanyakan anggota badan.

"Kalau tak dirawat, dia (pesakit) akan jadi kurus dan fikiran akan terganggu. Kadangkala timbul perasaan takut, walaupun ketika terdengar bunyi yang perlahan dan jika dibiarkan boleh membawa maut," katanya sambil memberitahu, ada lebih kurang 22 jenis penyakit tiroid.

Dr Shanmugam berkata, pembengkakan pada kelenjar tiroid Liew masih di peringkat awal memandangkan dia (Liew) tidak mengalami sebarang simptom menunjukkan masalah yang berlaku sudah di peringkat serius.

Bagaimanapun, katanya, jika dibiarkan, kelenjar tiroid mungkin menjadi lebih besar sehingga menyebabkan bentuk fizikal tidak normal.

Pembedahan Liew dilakukan sepasukan pakar bedah diketuai Dr Shanmugam. Dimulakan dengan pemberian bius dan bantuan oksigen sebelum pernafasan Liew diambil alih oleh mesin, pakar bedah kemudian membersihkan bahagian yang hendak dibedah menggunakan iodin bagi menghapuskan sebanyak mungkin kuman, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

`Adrenaline' kemudian disuntik di pangkal leher Liew bertujuan mengecutkan saluran darah. Langkah ini mampu mengurangkan pendarahan pada bahagian berkenaan dan memudahkan doktor melakukan pembedahan.

Prosedur pembedahan diteruskan dengan lapisan kulit dan otot pada bahagian terbabit dipotong sedikit demi sedikit dengan berhati-hati kerana bahagian ini cukup sensitif berikutan ada banyak salur darah dan urat penting.

Otot daripada bawah kulit kemudian diasingkan sehingga mencapai bahagian halkum dan seterusnya urat yang menyambungkan kedua-dua kelenjar tiroid dipotong sebelum prosedur pembuangan bahagian yang bengkak dilakukan.

Bahagian yang bengkak itu dikenali sebagai `nodul', iaitu merujuk kepada ketumbuhan tisu tiroid, sama ada keras atau mengandungi cecair.

Sebelum pemotongan `nodul' dilakukan, kelenjar tiroid sebelah kiri dikeluarkan dan salur darah di sekitar kawasan bedah diikat bagi mengelak pendarahan dan pada masa sama bahagian yang hendak dipotong ditandakan supaya pemotongan mudah dilakukan tanpa menjejaskan bahagian berdekatan.

Selepas nodul dipotong, Dr Shanmugam turut memeriksa kelenjar tiroid sebelah kanan dan usaha berkenaan membawa kepada penemuan satu `nodul' kecil yang kemudian turut dipotong dan dibuang.

Dr Shanmugam berkata, dengan pembuangan nodul berkenaan, tiada lagi kemungkinan berlaku semula pembengkakan kelenjar tiroid.

Untuk prosedur akhir pembedahan, sebelum menutup bahagian dibedah, salur sementara yang disambungkan pada sejenis botol vakum berfungsi menyedut darah dan cecair badan diletakkan.

Ia bertujuan mengelak darah dan cecair badan daripada berkumpul sehingga membawa kepada masalah bengkak pada bahagian dibedah.

Spesimen yang dipotong diletakkan di dalam cecair formalin bagi mengeraskannya, sekali gus memudahkan pakar mengujinya di makmal.

Dr Shanmugam berkata, keputusan ujian kebiasaannya akan diperoleh dalam tempoh lima hari dan pesakit akan diberitahu keputusan berkenaan dalam tempoh seminggu.

Selain Liew, Siti Faiza Mohd Razali, 24, turut berdepan penyakit sama, namun dia belum menjalani pembedahan berikutan masih ada tempoh kira-kira sebulan untuk berbuat demikian.

Siti Faiza berkata, dia hanya menyedari mempunyai kesan bengkak di bahagian pangkal leher kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, ibunya turut mengalami penyakit sama, menyebabkan dia segera bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Apa diperkatakan Siti Faiza menepati faktor yang menyumbang kepada penyakit berkenaan. Ini kerana, berdasarkan kajian, meskipun punca sebenar belum ditemui, faktor keturunan dikenal pasti antara penyebab penyakit berkenaan.

Selain itu, risiko pembengkakan kelenjar tiroid berlaku seiring dengan pertambahan usia, manakala sesiapa yang pernah mengalami radang tiroid yang kronik turut berisiko menghidap penyakit berkenaan.