April 29, 2009

PENGUMUMAN..terkini

29 April 2009

Situasi Semasa Wabak Swine Flu dan tindakan yang diambil oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia
Sehingga 28 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
menyatakan situasi wabak Swine Influenza A/H1N1 terus merebak
dengan cepat. Tujuh negara telah melaporkan kejadian wabak Swine
Influenza A/H1N1dimana Amerika Syarikat melaporkan 64 kes yang
disahkan melalui ujian makmal, tiada kematian. Mexico pula
melaporkan 26 kes positif ujian makmal Swine Influenza
A/H1N1termasuk 7 kematian. Negara-negara lain yang melaporkan
kes positif ujian makmal Swine Influenza A/H1N1 ialah Kanada (6
kes), New Zealand (3 kes), UK (2 kes), Israel (2 kes) dan Sepanyol
(2 kes), tiada kematian dilaporkan di negara-negara berkenaan.
WHO telah menaikkan amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 3
kepada Fasa 4 semenjak 27 April 2009 dimana telah terdapat
penyebaran yang berterusan dari manusia ke manusia. Peningkatan
Fasa ini menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya Pandemik,
tetapi ini tidak bermakna pandemik tidak dapat dibendung. WHO juga
melaporkan Fasa ini boleh turun ke Fasa 3 atau meningkatkan ke
Fasa yang lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat
terkini.

Fasa 4 ini bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia
dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti. Walau
bagaimanapun, WHO menyarankan TIADA sebarang tindakan
sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu
dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan
antarabangsa.

Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria
penyakit Swine Influenza. Berdasarkan survelan `influenza-like
illness’, tiada peningkatan kes dan kes berkelompok (cluster) yang
dilaporkan. Beberapa langkah telah diambil oleh Kementerian
Kesihatan bermula pada 26 April 2009 seperti berikut:
a) Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia
dan Jabatan Kesihatan Negeri telah mengaktifkan Bilik
Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Swine Flu
dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan
proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk
Malaysia.

b) Mengeluarkan surat waspada ‘Alert Letter’ kepada semua
peringkat kemudahan kesihatan termasuk kemudahan
kesihatan swasta dan kerajaan agar meningkatkan
pemantauan ‘influenza-like illness’.
c) Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan nasihat
perjalanan (Travel Advisory) kepada rakyat Malaysia agar
menangguh atau tidak melakukan lawatan antarabangsa
keluar negara terutamanya ke negara yang sedang dilanda
wabak sekiranya tidak perlu dan sekiranya keadaan kesihatan
tidak mengizinkan.

d) Menjalankan saringan kesihatan di pintu masuk KLIA dan
semua pintu masuk antarabangsa bermula pada pada 27 April
2009. Penumpang dan anak kapal syarikat penerbangan dari
negara/kawasan yang dilanda wabak Swine Flu disaring dan
diberi Health Alert Card dan Health Declaration Form.
e) Memberikan nasihat kesihatan kepada orang awam melalui
talian hotline di peringkat Kementerian 03–88810200 atau 03–
88810300 dan melalui hebahan TV dan Radio. Maklumat
berkaitan wabak Swine Flu dikemaskini secara harian dan
boleh dicapai di laman sesawang (web) Kementerian
Kesihatan di www.moh.gov.my

f) Memaklumkan kepada semua hospital rujukan (designated
hospital) di seluruh negara terutama Hospital Sg. Buloh dan
Hospital Klang agar bersiap sedia menerima kemasukan kes
disyaki Swine Influenza. Persediaan dari segi wad isolasi,
kawalan infeksi dan simpanan stok antiviral telah diberi
penekanan.

g) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah dimaklumkan
agar bersiap sedia menerima spesimen daripada kes yang
disyaki Swine Influenza.

h) Kesemua sembilan pusat simpanan stok antiviral di seluruh
negara diminta untuk bersiap sedia bagi memastikan proses
penghantaran antiviral berjalan lancar sekiranya diperlukan.

i) Menyediakan bahan pendidikan kesihatan berkaitan Swine Flu
seperti risalah, FAQs untuk diedarkan kepada orang awam.
j) Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi
wabak Swine Flu untuk maklumat orang awam di Malaysia
dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh
Kerajaan.

k) Mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang
melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan pada 29 April 2009
bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai langkah
pencegahan dan kawalan yang lebih bersepadu.
WHO telah menyarankan beberapa tindakan yang perlu diambil
perhatian iaitu:
a. Orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan
terutamanya demam, batuk, selsema dan sakit tekak
dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan
antarabangsa
b. Orang awam yang mengalami tanda-tanda berkenaan
semasa melakukan lawatan antarabangsa dinasihatkan
untuk mendapat rawatan
c. Tiada risiko mendapat jangkitan Swine Influenza
sekiranya daging atau produk babi disediakan atau
dimasak secara betul.
d. Amalkan kebersihan diri termasuk membasuh tangan
dengan kerap menggunakan sabun dan air,
terutamanya selepas batuk
e. Sekiranya mengalami gejala ‘influenza-like illness’, sila
dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Sekian dan terima kasih.

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
Menteri Kesihatan Malaysia
Tarikh: 29 April 2009

No comments: