April 21, 2009

INFO KESIHATAN

Penyakit Thyroid
Bengkak di leher tanda sakit tiroid

http://www.biovco.com

JIKA menghadap cermin, jangan lupa untuk melihat bahagian pangkal leher anda dan luangkan sedikit masa menyentuh bahagian berkenaan bagi mengesan sebarang perubahan.

Jika ada kesan bengkak walaupun tidak berasa sakit, seelok-eloknya segera berjumpa doktor kerana berkemungkinan anda berdepan masalah kelenjar tiroid atau biasa dipanggil penyakit tiroid.

Seperti dipaparkan dalam rancangan Medik TV, statistik menunjukkan wanita lebih berisiko menghidap penyakit berkenaan dengan nisbah tujuh kali lebih kerap berbanding lelaki.

Bagaimanapun, jika sudah dinamakan penyakit, ia pada dasarnya tidak mengenal jantina mahupun usia dan seharusnya setiap manusia perlu lebih serius dalam soal penjagaan kesihatan mereka.

Bagi Liew She Lem, 53, walaupun tidak berasa sakit, kesan bengkak yang dilihat pada bahagian pangkal leher sebelah kiri mendorongnya melakukan pemeriksaan doktor.

Hasil pemeriksaan x-ray dan ultrasound, kelenjar tiroid sebelah kiri bapa tiga anak itu dikesan bengkak dengan saiz kira-kira tiga sentimeter (sm).

Akur dengan nasihat doktor yang menasihatinya menjalani pembedahan, dia memilih menjalani pembedahan di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Pakar Bedah Am hospital terbabit, Dr S Shanmugam, berkata pembengkakan yang berlaku pada bahagian kelenjar tiroid memerlukan rawatan segera.

Katanya, walaupun kelenjar berkenaan kecil, ia memainkan fungsi penting dalam mengawal metabolisme badan kerana ia menghasilkan hormon dikenali sebagai tiroksin yang aktif dalam kebanyakan fungsi organ, termasuk membantu sel menukarkan oksigen dan kalori kepada tenaga.

"Jika kelenjar tiroid tidak berfungsi dengan baik, ia akan menjejaskan fungsi kebanyakan anggota badan.

"Kalau tak dirawat, dia (pesakit) akan jadi kurus dan fikiran akan terganggu. Kadangkala timbul perasaan takut, walaupun ketika terdengar bunyi yang perlahan dan jika dibiarkan boleh membawa maut," katanya sambil memberitahu, ada lebih kurang 22 jenis penyakit tiroid.

Dr Shanmugam berkata, pembengkakan pada kelenjar tiroid Liew masih di peringkat awal memandangkan dia (Liew) tidak mengalami sebarang simptom menunjukkan masalah yang berlaku sudah di peringkat serius.

Bagaimanapun, katanya, jika dibiarkan, kelenjar tiroid mungkin menjadi lebih besar sehingga menyebabkan bentuk fizikal tidak normal.

Pembedahan Liew dilakukan sepasukan pakar bedah diketuai Dr Shanmugam. Dimulakan dengan pemberian bius dan bantuan oksigen sebelum pernafasan Liew diambil alih oleh mesin, pakar bedah kemudian membersihkan bahagian yang hendak dibedah menggunakan iodin bagi menghapuskan sebanyak mungkin kuman, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

`Adrenaline' kemudian disuntik di pangkal leher Liew bertujuan mengecutkan saluran darah. Langkah ini mampu mengurangkan pendarahan pada bahagian berkenaan dan memudahkan doktor melakukan pembedahan.

Prosedur pembedahan diteruskan dengan lapisan kulit dan otot pada bahagian terbabit dipotong sedikit demi sedikit dengan berhati-hati kerana bahagian ini cukup sensitif berikutan ada banyak salur darah dan urat penting.

Otot daripada bawah kulit kemudian diasingkan sehingga mencapai bahagian halkum dan seterusnya urat yang menyambungkan kedua-dua kelenjar tiroid dipotong sebelum prosedur pembuangan bahagian yang bengkak dilakukan.

Bahagian yang bengkak itu dikenali sebagai `nodul', iaitu merujuk kepada ketumbuhan tisu tiroid, sama ada keras atau mengandungi cecair.

Sebelum pemotongan `nodul' dilakukan, kelenjar tiroid sebelah kiri dikeluarkan dan salur darah di sekitar kawasan bedah diikat bagi mengelak pendarahan dan pada masa sama bahagian yang hendak dipotong ditandakan supaya pemotongan mudah dilakukan tanpa menjejaskan bahagian berdekatan.

Selepas nodul dipotong, Dr Shanmugam turut memeriksa kelenjar tiroid sebelah kanan dan usaha berkenaan membawa kepada penemuan satu `nodul' kecil yang kemudian turut dipotong dan dibuang.

Dr Shanmugam berkata, dengan pembuangan nodul berkenaan, tiada lagi kemungkinan berlaku semula pembengkakan kelenjar tiroid.

Untuk prosedur akhir pembedahan, sebelum menutup bahagian dibedah, salur sementara yang disambungkan pada sejenis botol vakum berfungsi menyedut darah dan cecair badan diletakkan.

Ia bertujuan mengelak darah dan cecair badan daripada berkumpul sehingga membawa kepada masalah bengkak pada bahagian dibedah.

Spesimen yang dipotong diletakkan di dalam cecair formalin bagi mengeraskannya, sekali gus memudahkan pakar mengujinya di makmal.

Dr Shanmugam berkata, keputusan ujian kebiasaannya akan diperoleh dalam tempoh lima hari dan pesakit akan diberitahu keputusan berkenaan dalam tempoh seminggu.

Selain Liew, Siti Faiza Mohd Razali, 24, turut berdepan penyakit sama, namun dia belum menjalani pembedahan berikutan masih ada tempoh kira-kira sebulan untuk berbuat demikian.

Siti Faiza berkata, dia hanya menyedari mempunyai kesan bengkak di bahagian pangkal leher kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, ibunya turut mengalami penyakit sama, menyebabkan dia segera bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Apa diperkatakan Siti Faiza menepati faktor yang menyumbang kepada penyakit berkenaan. Ini kerana, berdasarkan kajian, meskipun punca sebenar belum ditemui, faktor keturunan dikenal pasti antara penyebab penyakit berkenaan.

Selain itu, risiko pembengkakan kelenjar tiroid berlaku seiring dengan pertambahan usia, manakala sesiapa yang pernah mengalami radang tiroid yang kronik turut berisiko menghidap penyakit berkenaan.

No comments: