May 2, 2009

WABAK..

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
(2 MEI 2009)

SITUASI SEMASA WABAK INFLUENZA A (H1N1)
DAN TINDAKAN-TINDAKAN YANG DIAMBIL
OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya bertarikh 1
Mei 2009 pada 23:30 GMT (bersamaan 2 Mei 2009 @ 7:30 pagi
waktu Malaysia) memaklumkan bahawa wabak Influenza A(H1N1)
menular ke 2 buah negara lagi iaitu Denmark dan Hong Kong,
menjadikan jumlah keseluruhan negara yang terlibat pada masa kini
adalah 13. Jumlah keseluruhan kes Influenza A(H1N1) yang
dilaporkan di 13 negara berkenaan adalah sebanyak 367 kes dengan
10 kematian iaitu penambahan sebanyak 110 kes dan 2 kematian
berbanding hari sebelumnya.
Taburan kes mengikut negara yang dilaporkan adalah seperti berikut;
Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 141 kes dengan 1 kematian.
Mexico pula melaporkan sebanyak 156 kes dengan 9 kematian.
Sebelas (11) negara-negara berikut melaporkan kes dengan tiada
kematian; Austria (1 kes), Canada (34 kes), China, Hong Kong SAR
(1 kes) Denmark (1 kes), Germany (4 kes), Israel (2 kes), Netherlands
(1 kes), New Zealand (4 kes), Spain (13 kes), Switzerland (1 kes) dan
United Kingdom (8 kes).

Tahap amaran wabak masih pada Fasa 5 dan WHO tidak
menyarankan sebarang tindakan sekatan perjalanan antarabangsa.
Namun begitu, orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan
terutamanya demam, batuk, selesema dan sakit tekak dinasihatkan
untuk menangguhkan perjalanan antarabangsa dan mendapatkan
rawatan. Bagi mereka yang mengalami tanda-tanda jangkitan
Influenza A(H1N1) semasa atau selepas melakukan lawatan
antarabangsa dinasihatkan untuk SEGERA mendapatkan rawatan.
Selain daripada itu, WHO juga menyarankan orang ramai untuk
mempertingkatkan amalan kebersihan diri terutama sekali membasuh
tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, lebih-lebih lagi
selepas batuk. Kepada sesiapa yang mengalami gejala ‘influenza-like
illness’ (ILI), untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.
Disamping itu, WHO menjelaskan bahawa tiada risiko mendapat
jangkitan Influenza A(H1N1) dengan memakan daging atau produk
babi yang telah dimasak dengan sempurna.
Di Malaysia, sehingga 1 Mei 2009, tiada kes yang disahkan mendapat
jangkitan Influenza A(H1N1). Sementara itu pemantauan `influenzalike
illness’ (ILI) di klinik-klinik seluruh negara tidak menunjukkan
sebarang peningkatan kes atau kes berkelompok (cluster).
Aktiviti saringan kesihatan di semua pintu masuk utama negara terus
dipertingkatkan. Pelawat-pelawat dari negara luar khususnya dari
negara-negara yang dilanda wabak Influenza A(H1N1) disaring dan
diberi Health Alert Card dan Health Declaration Form. Pada 1 Mei
2009, sejumlah 1,517 penumpang serta krew penerbangan dari
negara-negara yang terbabit serta 50 penumpang lain yang dirujuk
oleh pihak Imigresen telah disaring. Namun begitu, tiada penumpang
3
yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan dan dirujuk ke hospital.
Bermula pada 2 Mei 2009, penerbangan dari Hong Kong dan
Denmark juga akan disaring.
Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD ISMAIL MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 2 Mei 2009

No comments: